Dua Orang Menteri MIC Dikritik Kerana Isu Interlok





Dua menteri MIC yang mengumumkan bahawa Kabinet telah memutuskan untuk menarik balik novel Interlok yang mencetuskan kontroversi daripada sukatan pelajaran sekolah mulai tahun depan dikritik oleh Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi hari ini.

Datuk Dr Mohd Puad menyatakan kedua-dua menteri, yang tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan Kementerian Pelajaran telah melampaui batas dengan membuat pengumuman.

Menurut Datuk Dr Mohd Puad, mereka sepatutnya menunggu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat pengumuman. Tan Sri Muhyiddin Yassin kini berada di luar negara dan akan kembali hanya pada 25 Disember ini.

"Saya hanya mendengar tentang keputusan penarikan balik novel Interlok pada malam Jumaat lalu apabila menonton berita di televisyen. Saya tidak dapat mengesahkan atau menafikan isu itu kerana saya tidak ada pada mesyuarat kabinet ketika isu itu dibincangkan," tambah beliau lagi.

Beliau menunjukkan rasa kesal dan menyatakan bahawa Presiden MIC Datuk G. Palanivel dan timbalannya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam tidak sepatutnya mengabaikan menteri yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan.

"Tindakan mereka boleh mewujudkan salah faham. Mereka tidak sepatutnya melakukannya. Ia seolah-olah mereka tidak memberi peluang kepada menteri pendidikan untuk menjelaskan lagi," kata Datuk Dr Mohd Puad kepada akhbar The Sun.

Jumaat lepas,Datuk G. Palanivel, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dan Datuk Seri S. Subramaniam, Menteri Sumber Manusia, secara berasingan mengumumkan bahawa Kabinet telah memutuskan untuk menarik balik buku itu dari sukatan pelajaran sekolah.

Ketika dihubungi oleh akhbar The Sun, Datuk G. Palanivel mempertahankan keputusannya membuat pengumuman itu dan mengatakan bahawa penarikan balik novel itu dari sukatan sekolah bukan keputusan yang diambil secara tiba-tiba.

"Saya telah bercakap mengenai isu ini kepada Pengerusi Pasukan Tindakan Interlok Negara, Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim pada 12 Mei apabila kami sama-sama melawat bekas timbalan presiden MIC Datuk S. Subramaniam ketika beliau sakit, dan saya memberitahunya Interlok tidak akan digunakan pada tahun 2012," kata Datuk G. Palanivel.

"Versi yang telah dipinda, yang telah kami telah persetujui, hanya digunakan kerana ia sudah diperkenalkan kepada sekolah-sekolah pada tahun ini. Dalam mesyuarat kabinet, kami hanya mengingatkan Timbalan Perdana Menteri untuk mengeluarkan satu kenyataan yang mengatakan buku itu tidak akan digunakan dalam sukatan pelajaran mulai tahun depan, "katanya semalam.

Sementara itu, sumber dari kementerian mengatakan bahawa Ketua Pengarah dipanggil bermesyuarat hari ini berhubung keputusan yang telah diterima mengenai novel yang kandungannya dipinda digunakan sebagai komponen kesusasteraan subjek Bahasa Melayu Tingkatan Lima.

"Kita boleh menjangkakan pengumuman akan dibuat Isnin ini," kata sumber itu kepada akhbar The Sun.

Sementara itu, Presiden Kumpulan Sastera Kavyan, Uthaya Sankar SB memuji keputusan penarikan balik novel dan sabar menunggu kenyataan rasmi daripada kementerian.

"Kita hanya akan tahu sama ada penarikan balik Interlok adalah benar dan sah apabila Muhyiddin membuat kenyataan, yang sepatutnya dilakukan dalam masa terdekat ini, jadi kami sedang menunggu untuk mendengar pengumumman iti," kata Uthaya kepada akhbar The Sun ketika dihubungi.

"Kita bimbang sama ada ini akan menjadi satu lagi isu yang berbangkit, dimana Presiden MIC telah membuat satu kenyataan minggu lepas yang menyatakan bahawa parti itu gembira dengan pindaan kepada buku itu dan sekarang ini isu tuntutan penarikan balik novel secara tiba-tiba," katanya.

Uthaya juga melahirkan kebimbangan bahawa keputusan itu, jika benar, boleh menjadi satu agenda politik semata-mata bertujuan untuk memenangi undi dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan berlaku.

Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Termuzi Abdul Aziz ketika dihubungi menayatakan bahawa beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan kerajaan berhubung isu penarikan balik novel Interlok.

"Saya hanya tahu tentang perkara ini apabila tersiarnya berita di televisyen, radio dan akhbar. Pihak-pihak yang tidak berpuas hati telah pun bersetuju supaya versi itu dipinda, yang kemudian telah dicetak dan diedarkan ke sekolah-sekolah untuk sesi pembelajaran tahun depan. Saya kini menunggu arahan daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin, "katanya.

Interlok merupakan sebuah buku teks sebagai komponen sastera dalam subjek Bahasa Melayu tingkatan lima yang digunakan di Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Putrajaya.

Novel yang ditulis oleh Sasterawan Negara, Abdullah Hussain, mengisahkan tentang kehidupan tiga orang dari tiga bangsa iaitu Melayu, Cina dan India.

Ia dikatakan mewujudkan kontroversi kerana terdapat frasa-frasa tertentu dan kata-kata yang dianggap bersifat perkauman dan menyentuh sensitiviti masyarakat India. Beberapa pindaan telah dibuat kepada awal tahun ini.


Tags: ,

Peringatan

Segala komen di bawah artikel ini tidak mewakili pandangan Free Malays. Sila beri ulasan, kritikan atau pandangan berdasarkan artikel di atas sahaja. Anda bertanggung jawab di atas tulisan anda