NGO Jingga 13 hari ini mendesak pengerusi eksekutif NFC, Datuk Mohd Salleh Ismail mendedahkan nama penyewa kondominium One Menerung.
Unit kondominium itu disewakan pada harga RM70, 000 sebulan.
“Siapa individu yang menyewa unit kondominium. Sila berikan (dedahkan) dokumen pembayaran kepada umum. Ini duit rakyat, ” kata ketua koordinator Jingga 13 Fariz Musa ketika ditemui media sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Laporan polis ini dibuat susulan dari laporan Jingga 13 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM ) Selangor 10 hari lepas.
Fariz turut menjelaskan SPRM telah menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) untuk siasatan lanjutan.
Selain itu Fariz memberitahu bahawa Jingga 13 mahu pihak polis menyiasat skandal ini berdasarkan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Minggu lepas Jingga 13 turut mendesak Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan kerana dikatakan turut bertanggungjawab dalam skandal ini.
Biaya umrah
Skandal NFC menjadi isu kontroversi berikutan pendedahan di dalam laporan Ketua Audit Negara.
Terbaru, PKR mendedahkan bahawa NFC membiayai kos perjalanan umrah pengarahnya, Salleh dan anaknya, Wan Shahibur Azran.
Salleh ialah suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Sri Shahrizat Jalil yang juga ketua Wanita Umno.
Salleh dipetik media sebagai berkata bahawa pembelian dua unit kondominium One Menerung berharga RM 6.9 juta setiap satu adalah keputusan komersial untuk melindungi dana yang tidak digunakan untuk projek rumah sembelihan yang tergendala.
“Kami beri bukti baru. NFC tidak membeli satu tapi dua unit kondo berjumlah RM13.8 juta. Jumlah RM13.8 juta itu diseleweng oleh keluarga Shahrizat,” dakwa Fariz.
Fariz membuat laporan polis hari ini berbekalkan kenyataan Salleh sebagai bukti.