HAMPIR 100 petani dan pesawah di sekitar Sekinchan, Sungai Burung dan Sungai Panjang mendesak Menteri Pertanian, Industri Dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk segera meletak jawatan sebagai menteri.
Desakan itu ekoran kegagalan beliau membela nasib kaum petani dan pesawah di daerah tersebut serta tidak mengendahkan nasib para pesawah untuk menambah subsidi padi.
Hari ini bertempat di Site B Sekinchan hampir 100 petani berkumpul sambil memegang kain rentang melaungkan slogan "hidup petani" , "Naik subsidi RM50 seratus Kilo", "Noh Omar Khianat Petani" dan "Noh Omar letak jawatan".
Noh Omar didesak meletak jawatan ekoran laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mendedahkan berlaku ketirisan wang RM110 juta oleh kementerian dibawah jagaan Noh
Nasib para pesawah perlukan perhatian dan pembelaan kerana golongan ini hanya menuai dua kali setahun sebagai sumber pendapatan tahunan mereka.
Tekanan ini semakin mendesak disebabkan kebanyakan para petani hidup dalam keadaan tersepit dan kesusahan angkara kos saraan hidup yang semakin tinggi.
Sehubungan itu para petani meminta agar kerajaan pusat menyemak harga subsidi padi yang tidak pernah dinaikkan sejak 20 tahun lepas.
"Harga di paras RM24.81 untuk seratus kilogram sejak 20 tahun yang lalu,kita minta yang berhormat semak harga supaya dinaikkan kepada RM50.00"
Difahamkan, dengan kenaikan harga subsidi ini akan membolehkan petani menikmati secara terus subsidi tersebut serta mengelak dari penglibatan 'orang tengah' yang cuba mengambil kesempatan sebagimana berlaku sekarang.