SETIAUSAHA luar Britain, William Hague memberi amaran Iran akan menghadapi "akibat yang serius" selepas penunjuk perasaan menawan enam kakitangan kedutaan British sebagai tebusan dalam serangan ke atas 2 bangunan diplomatik di Tehran.
Penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar bertindak memecahkan tingkap serta melontarkan bom petrol sebelum membakar bendera British sebagai protes terhadap sekatan yang dikenakan oleh Britain.
Britain hari ini mengeluarkan kenyataan marah terhadap serangan ke atas kedutaannya, sementara White House mengecam serangan itu.
Perdana Menteri Britain, David Cameron mempengerusikan satu mesyuarat jawatankuasa keselamatan Cobra negaranya hari ini.
Hague berkata Iran telah melanggar Konvensyen Vienna yang harus memberikan perlindungan kepada para diplomat.
Setiausaha Luar Britain itu menambah: "Kerajaan Iran harus bertanggung jawab di atas kegagalannya untuk mengambil langkah-langkah secukupnya bagi melindungi duta kami sedangkan ia harus berbuat demikian".
Kerajaan Iran telah diminta untuk mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan keselamatan kakitangan kedutaan di kedua-dua bagunan melalui Menteri Luar Iran.
Menteri Luar Iran dilaporkan memohon maaf di atas apa yang terjadi dan berjanji akan mengambil langkah yang sepatutnya, namun pihak Britain tetap menganggap ia sebagai satu kegagalan serius Kerajaan Iran.
Rakyat Britain telah mendapat amaran agar tidak melancong ke Iran kecuali atas hal yang mustahak manakala sebilangan kecil yang berada di Iran telah diarahkan agar tidak keluar rumah.
Serangan terhadap dua bangunan kedutaan hari ini menyaksikan 6 kakitangan kedutaan dijadikan tebusan. Namun mereka kemudiannya dibebaskan dengan bantuan polis.
Di luar tembok kedutaan itu, beratus-ratus penunjuk perasaan lain dilihat berkumpul, ada di antara mereka yang berteriak berulang-ulang "kematian untuk Britain" dan meminta duta Britain meninggalkan negara itu secepat mungkin.
Tunjuk perasaan itu berlangsung sehari selepas Iran meluluskan undang-undang menyingkirkan duta itu dalam tempoh dua minggu sebagai tindakan balas terhadap sekatan baru oleh Britain yang menamatkan segala perjanjian dengan sektor kewangan Iran.
Britain mengugut untuk bertindak tegas jika Kementerian Luar Negara Iran mengusir duta mereka, Dominick Chilcott yang baru saja memegang jawatan tersebut bulan lalu.
Semasa sesi Parlimen di Teheran pada Ahad lalu, seorang penggubal undang-undang memberi amaran rakyat Iran yang marah terhadap sekatan itu berkemungkinan akan menyerbu Kedutaan British seperti yang pernah dilakukan terhadap Kedutaan Amerika Syarikat pada 1979.
Sejak itu, kerajaan AS tidak membuka pejabat perwakilan setelah kejadian 1979 itu menyaksikan 52 diplomat ditawan sebagai tebusan selama 444 hari.
Iran telah berulang-kali menafikan program nuklearnya memiliki tujuan ketenteraan dan menyifatkan laporan oleh pemantau nuklear PBB mengatakan Iran membina bom atom sebagai tidak berasas.