Nizar disiasat di bawah Akta Hasutan isu bidaan no plat Sultan Johor





MANTAN Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dipercayai disiasat di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan terhadap Sultan Johor berhubung isu bidaan no plat berpendaftaran WWW 1.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif telah mengesahkan perkara itu, dan berkata satu pasukan siasatan telah dilantik bagi tujuan itu.

Dipetik The Star Online, beliau berkata “kami akan menyiasat perkara itu dengan telus dan professional. Biar kami jalankan tugas kami tanpa sebarang tekanan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk kedua-dua belah pihak.”

Nizar (gambar) didakwa telah mengkritik Sultan Johor ekoran bidaan tertinggi no plat tersebut di laman Twitter miliknya.

Beliau telah menyatakan RM520,000 yang dibelanjakan untuk bidaan tersebut lebih baik digunakan untuk membantu rakyat Johor yang masih miskin.

Kenyataan beliau itu ternyata telah mengundang kecaman dan kritikan daripada pelbagai pihak dan menuntutnya mengemukakan permohoan maaf kepada kerabat diraja tersebut.

Ketua Penerangan Umno Johor Datuk Samsol Bari Jamali juga turut menyelar Nizar dan mendakwa beliau perlu menjalankan siasatan sebelum membuat tuduhan melulu.

Beliau mendakwa, kerabat diraja Johor selama ini telah pun memberikan bantuan kepada rakyat melalui Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim.

Sementara itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut membalas kenyataan Nizar melalui laman Twitter miliknya bahawa kerabat diraja Johor tidak menggunakan wang daripada kerajaan.

“Duit yang diperuntukkan untuk ayahanda saya dan saya setiap bulan sebagai Sultan dan Tunku Mahkota diletakkan di dalam Yayasan Iskandar dan Yayasan Ibrahim. Tujuan yayasan ini adalah untuk membantu rakyat dan kerajaan negeri,” katanya.

Beliau turut menegaskan, beliau juga tidak pernah mengambil sesen pun daripada dana kerajaan itu, malah memberi amaran dengan berkata, ”sila buat kajian sebelum membuka mulut.”

Sultan Johor telah memenangi bidaan no plat WWW 1 dengan nilai RM520,000 menewaskan 9,998 bidaan yang lain, seperti yang dipaparkan di laman web Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di www.jpj.gov.my, semalam [TMI].

Tags: ,

Peringatan

Segala komen di bawah artikel ini tidak mewakili pandangan Free Malays. Sila beri ulasan, kritikan atau pandangan berdasarkan artikel di atas sahaja. Anda bertanggung jawab di atas tulisan anda