SEORANG kolumnis The Malaysian Insider membuat laporan polis petang ini mendakwa dia telah difitnah oleh blogger pro-Umno Papagomo.
Amin Iskandar ditemani peguamnya membuat laporan polis di balai polis Jalan Travers meminta pihak berkuasa menyiasat tulisan Papagomo.
Papagomo, nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, dalam tulisannya bertajuk “Amin Iskandar penulis The Malaysian Insider akui dicabul Anwar Ibrahim” mendakwa Amin telah ‘dicabuli’ oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Amin dengan keras menafikan dakwaan itu dan mengkritik tindakan Wan Muhamad Azri sebagai tidak wajar.
“Fitnah Wan Muhammad Azri, dipercayai dilakukan dengan niat mahu mempertahankan (Timbalan Menteri Belia dan Sukan, dan Naib Ketua Pemuda Umno) Datuk Razali Ibrahim daripada tulisan dan kecaman saya pada 25 November lalu,” kata Amin selepas membuat laporan polis.
“Sebagai seorang penulis dan pemblog yang memperjuangkan kebebasan meluahkan pandangan, laporan ini bukan dibuat oleh menyekat kebebasan bercakap, tetapi untuk menghentikan fitnah daripada menjadi budaya sesetengah pihak,” katanya lagi.
Sumber: The Malaysian Insider