NEGARA China memiliki kira-kira 24,000 tasik-tasik semulajadi namun kini satu persatu didapati hilang pada kadar 20 buah setiap tahun menurut satu deklarasi dari forum alam sekitar.
Tasik-tasik semulajadi China meliputi kawasan seluas 83,000 km persegi juga memainkan peranan penting di dalam mengekalkan keseimbangan sistem ekologi, mengawal banjir dan mengurangkan kesan kemarau.
Menurut deklarasi itu lagi, tasik-tasik di China menghadapi kesan serius akibat perubahan cuaca disebabkan oleh aktiviti manusia.
"Setiap tahun, kira-kira 20 tasik-tasik semulajadi lenyap dengan cara yang mengecewakan" menurut deklarasi itu lagi yang menekankan bahawa aktiviti manusia telah menyebabkan akibat serius terhadap tasik-tasik tersebut.
"Kualiti air semakin buruk, mendapan terkumpul, tanah lembab semakin mengecil dari segi saiz dan haiwan akuatik menghadapi kematian. Akibatnya peranan tasik sebagai kawalan banjir dan kemarau telah terjejas"
"Tasik ini tidak dapat bertahan terhadap kerosakan akibat aktiviti manusia"
Menteri Sumber Air China, Chen Lei pada forum berkenaan berikrar untuk meningkatkan input kerajaan terhadap usaha melindungi tasik.
Lebih 800 pakar-pakar dan para pegawai menghadiri forum tersebut yang diadakan pada 10 dan 11 Disember baru-baru ini.
Sumber: ECNS