SATU kajian yang dibuat oleh Darryl Gwynne, seorang professor di University of Toronto, menunjukkan bahawa botol arak bukan sahaja mengotorkan alam sekitar, malah ia menjadi penyebab kematian sejenis kumbang permata Australia.
Ia disebabkan oleh satu tarikan yang mengelirukan, lantaran botol arak memiliki sifat-sifat yang boleh menarik perhatian kumbang permata jantan.
Botol arak yang berwarna seakan coklat dan permukaan kasarnya di bahagian bawah akan memantulkan cahaya seperti sayap kumbang permata betina.
Akibatnya, botol arak menjadi tarikan kepada kumbang permata jantan dan menyebabkan kematiannya kerana cuba mengawan dengan botol tersebut semasa musim panas.
Cahaya matahari memantulkan sinar yang mengelirukan bagi kumbang jantan menyebabkan ia menyangka botol arak sebagai kumbang betina.
Gwynne telah melakukan pemerhatian bersama rakan penyelidiknya David Rentz. Kajian ini telah memperolehi anugerah Ig Nobel Prize, di Harvard University.
Ig Nobel Prize merupakan sejenis anugerah yang parodi terhadap Nobel Prizes. Anugerah ini diberikan setiap tahun oleh sebuah Majalah Jenaka Saintifik, Annals of Improbable Research.
"Saya rasa saya dihargai" kata Gwynne, yang juga merupakan seorang professor biology dipetik sebagai berkata demikian di dalam sebuah kenyataan akhbar.
Gwynne dan Rentz sedang melakukan kerja lapangan di barat Australia apabila mereka menyaksikan satu kejadian aneh di sepanjang bahu jalan yang mereka lalui.
Beliau menjelaskan, "Kami sedang berjalan di sepanjang jalan yang kotor dengan lambakan tin dan botol arak apabila kami ternampak kira-kira enam botol arak dengan kumbang merangkak di atas dan sisinya. Begitu jelas bahawa kumbang-kumbang ini cuba untuk mengawan dengan botol"
Sumber: Discovery News