ALOR GAJAH - Impian seorang wanita warga Indonesia untuk berkahwin dengan lelaki pilihannya dari Malaysia tercapai apabila mereka diijab kabul dalam majlis serba ringkas di depot tahanan Mahkamah Sesyen di Machap Umboo, dekat sini, semalam.
Siti Jawari, 39, yang berasal dari Surabaya, ditahan Imigresen pada 22 Disember lalu selepas disyaki bekerja di kedai milik suaminya itu, Mohd Nur Hisham Abdullah, 53, yang dikenali sejak dua tahun lalu.
Siti Jawari dan Mohd Nur Hisham selamat dinikahkan Pendaftar Nikah dan Cerai Negeri Melaka, Abdul Halim Tawil, di surau depot tahanan berkenaan disaksikan pegawai dan kakitangan Imigresen, anggota Rela dan 18 tahanan lain.
Siti Jawari yang hanya ditemani rakan tahanan, pegawai depot dan Rela, tidak menyangka akan menikahi lelaki pilihannya itu di dalam depot tahanan.
Dia terharu dengan pertolongan pihak yang berusaha menjayakannya.
“Sepatutnya kami bernikah pada 1 Januari ini (hari ini) di pejabat agama. Saya datang ke negara ini sejak November lalu untuk menguruskan dokumen dan segala hal mengenai pernikahan, tetapi nasib tidak baik, saya ditahan sebelum bernikah," katanya.
Siti Jawari yang mempunyai anak lelaki berusia 24 tahun hasil perkahwinan pertamanya, menyangka pernikahannya terpaksa dibatalkan setelah dia ditahan selama 14 hari.
Sementara itu, Mohd Nur Hisham nekad mengahwini wanita pilihan hatinya tanpa sebarang hantaran meskipun mengetahui keadaan yang terpaksa dihadapi selepas menikahi isterinya itu sehingga tamat tempoh tahanan dan melalui siasatan.
“Selepas tiga bulan mengenali Siti Jawari, saya yakin dia sesuai untuk saya. Dia bersopan santun," katanya.
Mohd Nur Hisham menganut Islam 14 tahun lalu dan mempunyai anak perempuan berusia 14 tahun menerusi perkahwinan pertamanya.
Dalam pada itu, Komander Tahanan Machap Umboo, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, majlis pernikahan ini adalah yang pertama kali diadakan di depot tahanan berkenaan atas dasar menjaga kebajikan tahanan.
Sumber: Sinar Harian