Wanita Dituduh Mengamalkan Sihir Dipancung



Seorang wanita Arab Saudi di Riyadh telah dihukum pancung selepas didapati bersalah mengamalkan sihir yang dilarang keras amalannya dinegara itu, kata kementerian dalam negeri.



Wanita itu yang dikenali sebagai Amina binti Abdul Halim Nassar menerima hukuman pancung itu di wilayah utara, Jawf, kerana mempraktikkan ilmu ghaib dan sihir, kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan agensi berita SPA.

Tidak dapat dinyatakan dengan tepat berapa jumlah wanita yang telah menerima hukuman seperti ini di negara gurun itu kerana hukuman pancung adalah satu kebiasaan di negara Arab. Oktober lalu, seorang wanita dipancung kerana membunuh suaminya dengan membakar rumahnya. Ghazala bint Nasser al-Balawi dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh Ali al-Shehri dengan menyiramkan petrol dan membakar rumahnya, setelah mengunci suaminya dalam bangunan tersebut ketika suaminya sedang tidur.

Pelaksanaan hukuman pancung keatas wanita yang dikatakan mengamalkan sihir itu membuatkan jumlah orang yang menerima hukuman seumpama ini di Arab Saudi tahun ini menjadi sekurang-kurangnya 73 orang.

Amnesti Antarabangsa mengecam pemancungan itu sebagai "sungguh mengerikan" dan mendesak Arab Saudi supaya menghentikan amalan tersebut. "Tuduhan` ilmu hitam dan sihir `tidak ditetapkan sebagai kejahatan di Arab saudi," kata Philip Luther, pengarah Amnesti Antarabangsa untuk kawasan Timur Tengah dan Afrika Utara.

Pada 11 Oktober, pejabat hak asasi manusia PBB mendedahkan keprihatinan kepada Arab Saudi dalam pelaksanaan hukuman pancung keatas sepuluh orang, termasuk lapan warga Bangladesh. Organisasi ini mendesak Saudi membekukan hukuman mati.Kelapan orang Bangladesh itu dipancung kerana mencuri barang dari sebuah gudang dan membunuh penjaga gudang yang berbangsa Mesir. Pada hari yang sama, dua warga Arab Saudi juga dipancung.

Amnesti Antarabangsa yang berpusat di London itu berkata, Arab Saudi adalah salah satu daripada sejumlah kecil negara yang menentang resolusi Perhimpunan Agung PBB Disember lalu yang mendesak moratorium hukuman mati di seluruh dunia.

Menurut Amnesti Antarabangsa, Arab Saudi telah menghukum mati 27 orang pada 2010, sementara tahun sebelumnya 67 orang menerima pelaksanaan hukuman pancung.

Di Arab Saudi, kesalahan rogol, pembunuhan, murtad, rompakan bersenjata dan penyeludupan dadah boleh dikenakan hukuman mati.

Sumber: Yahoo News

Tags: ,

Peringatan

Segala komen di bawah artikel ini tidak mewakili pandangan Free Malays. Sila beri ulasan, kritikan atau pandangan berdasarkan artikel di atas sahaja. Anda bertanggung jawab di atas tulisan anda