KEUNIKAN sarang burung tempua atau cak raya bagi orang utara, mendorong seorang warga emas mengayuh basikal sehingga 100 km bagi mencari dan menjaja sarang burung yang dijadikan hiasan premis bagi penggemarnya.
Mad Desa Ahmad, 67, yang juga pesara Jabatan Bekalan Air dari Seberang Perai, Pulau Pinang berkata aktiviti itu dilakukannya sejak 15 tahun lalu.
"Hobi saya mengayuh basikal menjadikan aktiviti ini menyeronokkan selain dapat menambah pendapatan kerana setiap sarang burung boleh dijual antara RM20 hingga RM50," katanya ketika ditemui Bernama, di sini.
Mad Desa berkata setiap kali keluar menjaja, beliau akan menggantungkan antara 10 hingga 15 sarang burung tersebut pada basikalnya.
"Ada kala saya mengayuh basikal dari rumah keluarga di Taman Semarak, Kulim sehingga ke Selama, Perak untuk mengambil sarang burung jenis ini yang banyak di daerah itu," katanya.
Beliau juga akan bermalam di rumah saudara-mara atau di mana sahaja yang sesuai jika perlu berbuat demikian
"Saya hanya mengait sarang burung yang sudah ditinggalkan burung dari pokok kelapa, pokok bakau dan pokok-pokok lain yang tidak tinggi serta tidak akan mengambil sarang burung yang masih ada penghuninya," kata Mad Desa
Seorang peminat sarang burung itu, G. Mohan, 35, berkata beliau dan keluarga memilih sarang burung cak raya kerana keunikannya.
Katanya mereka juga kagum kerana burung sekecil itu mampu membina sarang sedemikian cantik
Sumber: Bernama