Umno cabar Pas ambil tindakan ke atas Nizar





BAGAN SERAI - Pas tidak ikhlas dan jelas dalam memperjuangan kedaulatan institusi raja di negara ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat dalam isu membabitkan pemimpin mereka Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang tidak dikenakan tindakan berhubung kenyataannya mengenai pembidaan nombor pendaftaran kenderaan oleh Sultan Johor.

"Mungkin kerana ingin sedapkan hati rakan komponennya (DAP dan PKR), maka saya rasa mereka tidak akan ambil tindakan terhadap Nizar.

"Nizar pula 'baling batu sembunyi tangan', berbelit-belit cakap, menuduh orang lain... jangan tuduh orang lain, sendiri yang tulis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerangan Perdana Parlimen Bagan Serai di sini hari ini.

Ahmad mencabar Pas untuk mengambil tindakan terhadap bekas menteri besar Perak itu dan jika gagal, ia menunjukkan parti itu bersekongkol serta bersetuju dengan perbuatan anggota Parlimen Bukit Gantang itu.

Khamis lepas, Sultan Johor melahirkan rasa murka terhadap Mohammad Nizar yang mengkritik tindakan baginda membida nombor pendaftaran kenderaan WWW 1 menerusi laman Twitter, baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad yang juga Ketua Penerangan Umno berkata kenyataan Pas supaya anggota parti itu yang terlibat secara langsung dalam pilihan raya umum menangguh ibadah haji tahun ini menunjukkan mereka 'mendaulatkan' parti.

Sumber: Sinar

Tags: ,

Peringatan

Segala komen di bawah artikel ini tidak mewakili pandangan Free Malays. Sila beri ulasan, kritikan atau pandangan berdasarkan artikel di atas sahaja. Anda bertanggung jawab di atas tulisan anda