Aktivis tuntut Royalti Minyak Kelantan bermandi darah



BEBERAPA keping gambar yang memaparkan salah seorang aktivis Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Negeri Kelantan (Royalti) dalam keadaan berlumuran darah tersebar sejak pagi tadi.

Beliau merupakan pengendali blog adukataruna.blogspot.com atau nama sebenarnya Khairul Nizam Abdul Ghani. Malaysiakini melaporkan Aduka menerima tiga jahitan akibat kecederaan itu.




Difahamkan berlaku kejadian tumbuk menumbuk di antara aktivis Royalti Minyak Kelantan dengan kumpulan yang dipercayai penyokong Umno.

Menurut Aduka, beliau yang menyertai perhimpunan Pra-Himpunan Royalti Menjunjung Titah Tuanku Sultan Kelantan telah dipukul oleh sekumpulan 15 orang yang disyakinya sebagai anggota Pemuda Umno.

Tinjauan di laman Facebook Dato Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan mendapati beliau menyiarkan satu ucapan takziah terhadap aktivis Menuntut Royalti Minyak Kelantan yang menjadi mangsa.

Di bawah ini kenyataan media yang dimaksudkan.

Rakaman Takziah dan Simpati YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Kepada Mangsa Keganasan Himpunan Menyokong Royalti Minyak

1. Saya telah diarahkan oleh YAB Tuan Guru Datuk Bentara Setia Menteri Besar Kelantan untuk merakamkan ucapan takziah dan simpati terhadap lima orang mangsa keganasan pihak yang tidak dikenali semasa Himpunan Menyokong Royalti Minyak di hadapan Kota Darulnaim pada pagi ini Isnin 26 Jun 2012.

2. Beliau yang sedang berada di Shah Alam, Selangor bagi menyampaikan ucaptama di Majlis Wacana Ilmu Mengenai Rasuah anjuran Kerajaan Negeri Selangor pada hari ini juga turut melahirkan rasa kesal terhadap insiden ini yang disifatkan tidak wajar berlaku sekiranya semua pihak menghormati hak bersuara yang telah dijamin di dalam perlembagaan.

3. Justeru, YAB Tuan Guru telah menyampaikan sumbangan tanda simpati kepada semua mangsa yang terlibat. Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh YB Datuk Abdul Fattah Mahmood, ahli Exco kerajaan Negeri Kelantan sebagai mewakili YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu ketika semua mangsa sedang membuat laporan polis sebentar tadi.

4. YAB Tuan Guru juga turut merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan yang telah ditunjukkan oleh rakyat Kelantan terhada usaha kerajaan negeri menuntut royalti minyak dan pendaratan gas yang telah dinafikan oleh kerajaan pusat. Juga terima kasih kepada pihak keselamatan yang telah memberikan kerjasama di dalam memastikan perhimpunan aman ini berjaya dilaksanakan.



Yang menjalankan tugas,


AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Setiausaha Akhbar,
YAB Menteri Besar Kelantan.

Bertarikh : 26 Jun 2012


Tags: , ,

Peringatan

Segala komen di bawah artikel ini tidak mewakili pandangan Free Malays. Sila beri ulasan, kritikan atau pandangan berdasarkan artikel di atas sahaja. Anda bertanggung jawab di atas tulisan anda