PERTEMBUNGAN perlawanan akhir bola sepak Sukan Sea di Palembang Indonesia bakal menjadi medan tempur yang ditunggu-tunggu oleh seluruh peminat bolasepak di Malaysia dan Indonesia khususnya yang meluap-luap dengan sentimen sejak beberapa hari lalu.
Kemaraan Malaysia ke perlawanan akhir setelah menumbangkan Myanmar 1-0 hasil jaringan Ahmad Fakri Shaarani adalah satu lagi momentum keghairahan bolasepak di negara ini semenjak memperolehi pingat emas pada temasya dwi tahunan itu pada 2009.
Malah perlawanan separuh akhir itu semalam telah menunjukkan kekuatan mental anak-anak buah Ong Kim Swee yang bermain tanpa jurulatih kesayangan mereka itu akibat penggantungan.
Bermain di hadapan puluhan ribu penyokong Indonesia yang ternyata berat sebelah dengan menyokong Myanmar, barisan Harimau Muda begitu tenang mengawal asakan bertali-arus Myanmar dan menunjukkan ketinggian disiplin dan bertahan dengan taktikal yang baik sebelum menundukkan lawan.
Namun, lawan yang menanti di peringkat akhir ini adalah tuan rumah, Indonesia. Garuda yang terluka ekoran kekalahan peringkat kumpulan kepada Malaysia, nyata garang apabila membenam cabaran Vietnam 2-0 di halaman sendiri. Stadium Gelora Bung Karno gegak gempita menyambut kemenangan semalam dan penyokong fanatik Indonesia nyata tidak sabar untuk penentuan juara ini.
"Kami bakal ganyang Malaysia" kata seorang penyokong Indonesia, Kusfiardi yang ditemuramah selepas perlawanan sambil disambut sorakan ratusan penyokong lain yang berhimpun. Tambah Kusfiardi, Indonesia akan turun dengan kekuatan penuh dan mengajar Malaysia erti permainan bola sepak.
Satu persoalan menarik, adakah skuad Harimau Muda akan diarak masuk dengan Barracuda lagi untuk perlawanan akhir nanti? Adakah keadaan ini sengaja dicetus untuk mempermainkan mental pasukan Malaysia untuk memberikan kelebihan pada pasukan tuan rumah?
Keadaan seperti ini ternyata berat sebelah, namun kita meyakini anak-anak muda Malaysia ini mampu menyerap tekanan didalam dan diluar padang untuk menafikan hasrat Indonesia merampas takhta bolasepak negara sebagai pasukan terkuat rantau Asia Tenggara buat masa ini.
Apapun juga keadaan, perancangan taktikal dan pengurusan serta keupayaan mental dan fizikal amat dituntut dalam perlawanan akhir esok. Pertembungan esok pasti berbeza dengan perlawanan akhir Piala Suzuki AFF tahun lalu, kerana kedua-dua pasukan akan memulakan perlawanan dalam keadaan yang sama rata.
Semoga semangat Harimau mampu membaham keangkuhan Garuda, di laman keramat mereka sendiri.