BUKIT MERTAJAM - Seramai 23 lelaki termasuk warga emas ditahan ketika sedang leka berjudi di jirat Cina di Kampung Baru di sini petang semalam.
Jurucakap polis berkata, jirat Cina itu dijadikan mini kasino yang menjadi tumpuan kaki judi pada setiap malam, namun operasi itu tidak dapat diteruskan lagi kerana berjaya dihidu oleh polis hasil maklumat orang ramai dan intipan sejak seminggu lepas.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang menyerbu tempat berkenaan kira-kira pukul 6 petang semalam.
"Kesemua mereka berusia antara 34 tahun dan 70 tahun, ditahan ketika sedang leka berjudi," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis merampas wang tunai RM900 di atas meja judi, sebiji mangkuk, tiga biji dadu, 78 keping cip judi, tiga buah meja panjang dan 20 buah kerusi.
"Hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua lelaki yang ditahan itu, polis berjaya merampas RM39,771 wang tunai yang dipercayai digunakan untuk berjudi," katanya.
Kesemua yang ditahan kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali. - Bernama